Chelsea melantik bekas pengurus FC Porto, Andre Villas-Boas sebagai pengurus baru mereka dengan perjanjian memecahkan rekod, menurut satu kenyataan kelab itu semalam.
Pengendali berusia 33 tahun itu yang dilihat pilihan utama untuk memikul tanggungjawab itu selepas meletak jawatan sebagai jurulatih Porto kelmarin, mengikat kontrak tiga tahun.
Villas-Boas bukan saja muncul pengurus paling muda Liga Perdana Inggeris tapi pelantikan jurulatih paling mahal selepas Chelsea membayar Porto 13.3 juta (RM64.9 juta) untuk melunaskan klausa pelepasan dalam kontraknya.
Chelsea menyifatkan Villas-Boas yang mengemudi Porto memenangi dua kejuaraan domestik dan Liga Europa musim lalu sebagai ‘calon paling menyerlah bagi jawatan itu’.
“Beliau adalah pengurus muda paling berbakat dalam bola sepak hari ini dan sudah berjaya meraih kejayaan dalam tempoh yang singkat,” kata kelab itu.
“Impian, keinginan dan keazamannya menyamai hasrat Chelsea dan kami yakin di bawah kepimpinan Andre pasukan ini akan meraih keputusan cemerlang dalam pertandingan utama domestik dan Eropah.” Villas-Boas yang menggantikan Carlo Ancelotti, kembali kali kedua ke Stamford Bridge, selepas bertindak sebagai pembantu dan pencari bakat di bawah mentornya, Jose Mourinho.
Chelsea, tanpa sebarang trofi musim lalu menyatakan: “Andre akan membawa pengalaman kejurulatihannya ke kelab yang sudah dikenalinya, selepas pernah bekerja di sini selama tiga tahun.
Laporan media Britain menganggarkan Chelsea membayar Villas-Boas, pengurus ketujuh mereka dalam tempoh lapan tahun, gaji 4.5 juta (RM21.9 juta) setahun.
Satu daripada tugas pertamanya sebagai pengurus Blues adalah membeli bintang serangan Porto, Radamel Falcao, pemain Colombia bernilai 25 juta (RM122 juta) yang menjaringkan gol tunggal kemenangan Porto pada final Liga Europa mengatasi Sporting Braga di Dublin.
Pengumuman semalam menamatkan pencarian pemilik Chelsea, Roman Abramovich yang mahukan pengurus berkelayakan menamatkan kemarau trofi kelab itu terutama penantian lama bagi kejuaraan Liga Juara-Juara. - AFP
0 comments:
Post a Comment