KOTA BHARU 9 Jun - Pesta Sukan Pasti Kelantan 2011 meriah dengan gelagat hampir 700 murid dan guru yang bertanding dalam tiga acara iaitu bola sepak, bola jaring dan tarik tali.
Pengarah program, Zuhairi Ismail berkata, pesta tersebut merupakan acara tahunan dalam usaha pihaknya menyemarakkan kegiatan kokurikulum di kalangan murid Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) di seluruh negeri.
Beliau berkata, sebelum ini, setiap peserta bertanding di peringkat daerah sebelum dihimpunkan di peringkat negeri.
"Kegiatan sukan ini menunjukkan Pasti bukan hanya menitik-beratkan aspek kecemerlangan kurikulum di kalangan murid-murid, tetapi juga ketahanan serta kecergasan fizikal," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pesta tersebut dirasmikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Abdul Latiff Ab. Rahman.
Menurut Zuhairi lagi, pesta sukan tahunan itu merupakan kesinambungan pendidikan bersepadu Pasti dalam melahirkan modal insan yang cemerlang rohani dan jasmani.
Dalam pada itu, Pasti daerah Pengkalan Chepa muncul juara keseluruhan setelah menjuarai acara bola jaring dan tarik tali. Sementara acara bola sepak pula dimenangi oleh Pasti Kubang Kerian. Setiap pemenang menerima hadiah wang tunai dan medal.
0 comments:
Post a Comment