CHINA masih mampu menguasai semua lima gelaran Siri Super Terbuka Singapura esok, namun kejutan hampir menimpa juara Olimpik Lin Dan yang terpaksa bertarung tiga set ketika berdepan Simon Santoso dari Indonesia di suku akhir, semalam.
Lin Dan terpaksa bertarung sengit sebelum menang 14-21, 21-13, 22-20 untuk mengetuai dua lagi pemain perseorangan Chen Jin dan Wang Zhengming. Chen Jin dan Zhengming akan berdepan sesama sendiri manakala Lin Dan akan bertemu Peter Gade di separuh akhir hari ini.
Dalam beregu lelaki, dua pasangan China melangkah ke separuh akhir. Chai Biao-Guo Zhendong yang menewaskan gandingan Jerman Ingo Kindervater 21-15, 21-10, semalam akan menentang Alvent Yulianto-Hendra Aprida (Indonesia) manakala Fu Haifeng-Cai Yun akan berdepan pilihan kedua dari Korea, Jung Jae Sung-Lee Yong Dae dalam pertembungan buku bertemu ruas.
Dalam perseorangan wanita, pemain nombor satu dunia, Wang Shixian dan bekas pemain nombor satu dunia, Wang Xin mara ke separuh akhir. Shixian yang hampir dikejutkan pemain Jerman, Juliane Shenk sebelum bangkit menang 17-21, 21-15, 22-20 akan berdepan tentangan jaguh Eropah dari Denmark, Tine Baun, manakala Wang Xin berdepan tentangan pemain Belanda, Yao Jie yang mengejutkan pemain nombor dua dunia, Wang Yihan.
Hanya satu beregu wanita China melangkah ke separuh akhir iaitu Tian Qing-Zhao Yunlei yang menewaskan gandingan Jepun Miyuki Maeda-Satoko Suetsuna semalam dan mereka akan berdepan Shizuka Matsuo-Mami Naito hari ini.
Satu lagi perlawanan separuh akhir akan menemukan satu lagi gandingan Jepun Mizuki Fujii-Reika Kakiiwa dengan beregu Korea, Ha Jung Eun-Kim Min Jung.
0 comments:
Post a Comment