MADRID: Perang mulut antara Barcelona dan Real Madrid semakin panas, kelmarin apabila Presiden Barca, Sandro Rosell menuduh pesaing kelab Catalan itu tidak mempunyai semangat kesukanan dan membidas jurulatih Real, Jose Mourinho.
Pertelingkahan memuncak antara dua kelab gergasi Sepanyol itu selepas bertarung empat perlawanan untuk tiga kejohanan dalam tempoh 18 hari musim lalu dan Rosell menggunakan sidang media penghujung musim untuk mengeluarkan kenyataan keras membidas Real.
“Kami percaya musim ini Real sudah melampaui batasan apabila membuat tuduhan ke atas kelab kami tanpa asas yang kukuh,” kata Rosell.
“Persaingan akan berterusan musim depan namun kami tidak akan membiarkan semangat kesukanan melepasi batasnya sekali lagi.
“Bola sepak memerlukan saingan bersih dan Barcelona akan melakukan semua langkah untuk memeliharanya.
“Jika perlu, kami akan mengambil tindakan undang-undang dan membawa kes kepada tribunal sukan yang relevan.” Real memberikan reaksi balas menerusi satu kenyataan dengan menyuarakan kekesalan mereka terhadap komen Rosell itu.
Menurut kenyataan itu, kenyataan Rosell itu didorong “tekanan sesetengah lembaga pengarah dan persekitaran media yang dipanggil sebagai satu sikap agresif terhadap kelab kami”.
“Untuk kebaikan bola sepak, Real akan berterusan mengekalkan hubungan sebaik mungkin dengan Barcelona seperti kebiasaan yang dilakukan dengan semua kelab di Eropah dan dunia,” kata kenyataan itu di www.realmadrid.com.
Barcelona yang menjadi juara Eropah menyingkirkan Real dari Liga Juara-Juara dan memaksa kelab itu berpuas hati di tempat kedua saingan La Liga untuk tiga musim berturut-turut. Real meraih Piala Raja Sepanyol dalam final dramatik mengatasi Barca untuk memenangi kejuaraan tunggal musim lalu.
Empat perlawanan kedua-dua pasukan dicemari sikap kepura-puraan, pergaduhan dan dakwaan penipuan serta sikap perkauman.
Selepas saingan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara, Mourinho mendakwa Barca mendapat layanan istimewa pengadil dan Real kemudiannya mengemukakan aduan kepada Uefa - yang ditolak - menuduh pemain Barca sengaja melayangkan badan dan pemain tengah Sergio Busquets menggelar pemain pertahanannya, Marcelo sebagai monyet.
Barca turut membuat aduan dengan Uefa berhubung komen Mourinho dan pengurus dari Portugis itu digantung lima perlawanan serta denda AS$70,700 (RM346,933).
Dia berdepan perbicaraan untuk rayuannya pada 29 Julai ini dan berkata akan menggunakan sebarang cara untuk berjuang terhadap penggantungan itu. - Reuters
0 comments:
Post a Comment