PULAU PINANG 14 Jun - Penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menghasilkan berus gigi dengan reka bentuk unik yang berupaya melatih pengguna memberus gigi dengan cara betul selain membantu mengekang perebakan karang gigi.
Inovasi tersebut dihasilkan menerusi gabungan kepakaran penyelidik dari Institut Perubatan dan Pergigian Termaju USM iaitu Prof. Madya Dr. Tang Thean Hock, Prof. Abdel Hamid Zaki Abdel Hamid dan Dr. Ashfaq Akram.
Thean Hock berkata, keunikan berus gigi yang dikenali sebagai Pro-revolution itu adalah bentuknya condong 45 darjah pada kedua-dua permukaan bagi menghasilkan kaedah pembersihan gigi secara efektif.
Katanya, selain menjadi reka cipta pertama seumpamanya di negara ini, permukaan berus yang berbentuk tirus itu juga membuktikan kelebihannya berbanding berus gigi sedia ada dalam pasaran.
"Rekaan ini sememangnya sangat mesra pengguna kerana tiada langkah rumit untuk menggunakannya. Pengguna tidak perlu memutar untuk membersih bahagian gigi yang terselindung seperti yang kebiasaannya perlu dibuat dengan berus gigi biasa.
"Bentuknya tirus pula dapat menghalang geseran selain turut membersihkan gigi secara menyeluruh. Ia amat praktikal untuk digunakan oleh semua lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak,'' katanya pada sidang akhbar di sini baru-baru ini.
Tambah beliau, berdasarkan kepada pengalamannya, masalah gigi seperti karies dan kaviti berpunca daripada teknik penjagaan serta pembersihan yang tidak betul dan sempurna, termasuk teknik memberus tidak tepat.
Berus gigi unik tersebut turut mendapat pengiktirafan apabila terpilih memenangi pingat emas dalam Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) ke-22 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
0 comments:
Post a Comment