TEMPAHAN BAJU RAYA 2011 MASIH DIBUKA DAN DITERIMA..CEPAT TEMPAH SEBELUM KUOTA PENUH!!!

PKB berjaya saingi IPT lain

Posted by My on Friday, June 17, 2011

                      

Pensyarah PKB, Azmi Ayub (kiri) dan rakan setugas Ulaimi Yahya; Ketua Setiausaha KPT, Datuk Abd Rahim Md Noor; Mohamed Khaled Nordin; Pengarah PKB, Noor Azahan Othman dan Wan Azlan Wan Ismail bersama anugerah diterima di Putrajaya, baru-baru ini.

KOTA BHARU 14 Jun – Politeknik Kota Bharu (PKB) berjaya bersaing dengan institusi pengajian tinggi (IPT) lain apabila mendapat tempat ketiga Anugerah Inovasi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada Hari Inovasi KPT 2010 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) baru-baru ini.

Ia hasil kejayaan PKB mencipta program perisian komputer ‘CAKUR’ iaitu program web-based yang dapat memudahkan urusan pemantauan kursus kakitangan kerajaan oleh ketua jabatan masing-masing.

Timbalan Pengarah I PKB, Wan Azlan Wan Ismail ketika dihubungi berkata, terdapat 47 projek inovasi IPT yang dinilai dan PKB merupakan wakil tunggal politeknik dari seluruh negara yang berada dalam senarai pendek tujuh IPT pada saringan akhir.

"Program CAKUR telah digunakan secara meluas oleh 16,000 kakitangan daripada 132 agensi, jabatan dan institusi di bawah KPT sejak tahun lalu dan ia berjaya menjimatkan perbelanjaan kerajaan hampir RM1.3 juta setahun kerana setiap agensi tidak perlu lagi menggaji pegawai khidmat singkat untuk menguruskan timbunan rekod dan fail borang kursus.

"Projek inovasi PKB diketuai saya sendiri dan disertai dua pensyarah iaitu Ulaimi Yahya dan Azmi Ayub selaku webmaster dan program itu mula dibangunkan pada 2008 sebelum diperbaiki dan disempurnakan sepenuhnya tahun lalu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Pada majlis itu, PKB yang diwakili Pengarahnya, Noor Azahan Othman menerima sijil dan cek bernilai RM2,000 yang disampaikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Dalam pertandingan inovasi itu, PKB berada di belakang johan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan naib johan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Wan Azlan berkata, kejayaan kali pertama itu menguatkan lagi iltizam pihaknya untuk meneruskan kecemerlangan dalam bidang inovasi dan kreativiti pada masa hadapan.

"Idea bagi projek ini tercetus bagi membolehkan pihak pengurusan menyemak bilangan hari berkursus wajib dalam setahun yang telah dihadiri penjawat awam.

"Menerusi program ini, kakitangan terlibat tidak perlu mengisi borang kertas sebaliknya hanya memasuki laman web CAKUR yang terdapat dalam sistem komputer jabatan masing-masing.

"Ketua jabatan yang berada di luar pejabat dan kawasan dapat memilih dan memantau kakitangan yang akan dihantar berkursus sekali gus mengelak pertindihan hanya dengan menekan butang di komputer ataupun telefon mudah alih," katanya.

0 comments:

Post a Comment

Kongsi Entri

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...