LONDON: Manchester United akan memulakan kempen mempertahankan gelaran Liga Perdana Inggeris musim depan dengan kunjungan ke West Bromwich Albion.
Anak-anak buah Alex Ferguson beraksi di The Hawthorns pada 13 Ogos dengan dua perlawanan selepas itu di Old Trafford menentang Tottenham dan Arsenal. United menamatkan kempen pada 13 Mei dengan perlawanan di Sunderland.
Arsenal pula memulakan saingan di Newcastle - pertemuan yang berakhir dengan keputusan seri 4-4 musim lalu - manakala saingan pertama di gelanggang sendiri menentang Liverpool sebelum kunjungan ke Old Trafford.
Naib juara musim lalu, Chelsea bertandang ke Stoke City pada hari pembukaan sebelum menanti kunjungan West Brom di Stamford Bridge.
Liverpool memulakan kempen di gelanggang sendiri menentang Sunderland, bermakna pemain tengah Jordan Henderson terus menentang bekas pasukan musim lalu sebelum berhijrah ke Anfield.
Aksi pertama Sunderland di gelanggang sendiri menentang Newcastle pada minggu berikutnya.
Perlawanan pertama Manchester City pula di gelanggang sendiri menentang Swansea, yang memastikan tempat di saingan utama selepas kemenangan dalam perlawanan kelayakan ke atas Reading bulan lalu.
Wigan pula menjadi lawan pertama Swansea di gelanggang sendiri, kembalinya bekas pengurus Roberto Martinez, yang meninggalkan pasukan selatan Wales itu untuk ke Wigan lebih dua tahun lalu.
Swansea berdepan perlawanan menarik pada hari terakhir liga, dengan Liverpool berkunjung ke Stadium The Liberty pada 13 Mei.
Dua lagi pasukan baru Liga Perdana, QPR beraksi di laman sendiri pada perlawanan pertama menentang Bolton manakala Norwich ke Wigan. - Agensi
0 comments:
Post a Comment